Friday 4 March 2011

Pendidikan Pelaburan Masa Hadapan

  1. Pendidikan merupakan satu perkataan yang membawa maksud sesuatu usaha untuk mengembangkan potensi diri bagi meningkatkan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial manusia. 
  2. Pendidikan sebenarnya bermula sejak manusia dilahirkan dan berterusan sepanjang hayat.
  3. Sehingga kini di Malaysia, khususnya di Sabah telah banyak institusi pendidikan telah bergiat dalam memberi pendidikan formal kepada rakyat.
  4. Sejak tahun 1990 hinggalah tahun 2010, iaitu 20 tahun kebelakangan ini, telah ramai anak-anak tempatan di Negeri Sabah yang telah mendapatkan pendidikan baik di peringkat rendah, menengah mahupun peringkat tinggi.
  5. Ini merupakan sesuatu peningkatan yang memberansangkan walaupun saya percaya ia masih belum mencapai tahap yang membanggakan dari segi kuantitinya berbanding di Semenanjung Malaysia.
  6. Terdapat dua faktor utama yang dilihat menjadi penghalang kepada usaha pendidikan anak-anak tempatan di Negeri Sabah. Pertama adalah dari segi keterbukaan kepada pendidikan di kalangan masyarakat, dan kedua adalah masalah kemiskinan.
  7. Penduduk yang menetap di kawasan pedalaman amnya tidak melihat secara jelas kepentingan pendidikan pada masa hadapan. Kurangnya pendedahan kepada dunia luar dan isu-isu semasa menyebabkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan itu rendah.
  8. Harapan ibu bapa kepada anak-anak adalah rendah dan melihat bahawa anak-anak hanyalah sebagai penerus kepada keberlangsungan ekonomi keluarga yang diusahakan sekarang iaitu pertanian skala kecil atau sara diri amnya.
  9. Keciciran yang berlaku di kalangan anak-anak yang bersekolah juga dilihat sebagai penghalang utama kepada mereka disebabkan oleh kemiskinan. 
  10. Ini disebakan keperluan asas dan keperluan bersekolah yang tidak mencukupi akibat daripada kemiskinan. Anak-anak hanya bersekolah di tahap rendah dan menengah, kemudiannya mengambil keputusan untuk bekerja untuk menyara diri dan keluarga.
  11. Masalah pendidikan ini bukan sahaja berlaku di kawasan pedalaman, tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat tempatan yang menetap di kawasan pekan mahupun bandar.
  12. Setahun kebelakangan ini, lonjakan ekonomi berlaku di kalangan masyarakat petani yang mengusahakan tanaman komoditi getah dan sebilangan kecil kelapa sawit. Ada yang mengatakan bahawa tidak perlu bersekolah tinggi-tinggi, dengan mengusahakan tanaman ini sahaja cukup untuk menyara keluarga.
  13. Pendapat itu sama sekali adalah tidak betul. Persoalannya adalah bagaimana sekiranya kemerosotan ekonomi berlaku sekali lagi? Sudah pasti harga tanaman komoditi di pasaran antarabangsa akan jatuh menjunam. 
  14. Persoalan kedua adalah, adakah kita mampu menguruskan sumber-sumber yang kita ada secara berkesan sekiranya kita tidak mempunyai pengetahuan dan pendidikan. Buktinya telah banyak kes-kes penipuan dan manipulasi terjadi kepada masyarakat miskin mahupun pertengahan di Sabah akibat daripada rendahnya pendidikan dan pengetahuan.
  15. Yang ketiga, tanpa pendidikan masyarakat tempatan Sabah akan terus terpinggir dan hanya dianggap sebagai 'second class' atau 'third class' seperti yang berlaku sekarang. Lihat sahaja penyertaan kaum bumiputera Sabah dalam bidang professional dalam Kerajaan dan Swasta. Hanya sebilangan kecil sahaja yang dilihat mampu bersaing dengan kaum-kaum lain.
  16. Sebab itu, reformasi pemikiran perlu ada di dalam setiap anak-anak bumiputera Negeri Sabah. Hanya pendidikan sahaja yang dapat mengubah taraf hidup dan menjamin kesejahteraan kita sebagai penduduk tempatan Negeri Sabah.

No comments:

Post a Comment