Monday 21 March 2011

Bible dalam Bahasa Malaysia?


1. Kaum peribumi di Sabah dan Sarawak sejak daripada zaman penjajahan British menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar untuk tujuan rasmi mahupun pendidikan. Di Sabah misalnya, pengunaan Bahasa Inggeris ini terkandung dalam 20 Perkara Sabah. Maka Bible yang digunakan di Borneo juga pada awalnya adalah Bahasa Inggeris.

2. Selepas bergabung membentuk Malaysia, dasar pendidikan kebangsaan Malaysia yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar, dan sebagai usaha memantapkan Bahasa Malaysia menyebabkan anak-anak muda peribumi Sabah dan Sarawak menerima dan menggunakan Bahasa Malaysia dalam perbualan dan penulisan sehari-hari di sekolah dan rumah, mengakibatkan mereka tidak begitu mahir dalam Bahasa Inggeris terutamanya di kawasan pedalaman.
 
3. Maka, mengapa apabila mereka menggunakan Bible dalam 'bahasa' menjadi isu kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan dasar pendidikan Malaysia yang bertanggungjawab menukar peribumi Sabah dan Sarawak untuk menggunakan Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Inggeris yang telah kami lama pakai sebelum bergabung dengan Malaya?

4. Beberapa pertubuhan NGO terutamanya PERKASA, yang diketuai oleh Ibrahim Ali mempersoalkan mengapa Bible tidak ditulis dalam bahasa peribumi oleh penganut Kristian di Borneo. Sedarkah beliau bahawa di Sabah sahaja terdapat 52 etnik, dan di Sarawak terdapat 112 etnik yang berlainan bahasa dan dialek pertuturan. Ini belum termasuk sub-etnik yang lain lagi. Memang terdapat usaha mencetak bible dalam bahasa peribumi Borneo, tetapi usaha ini lambat disebabkan jumlah etnik yang terlalu banyak. Lagi pula, mereka ini memang pandai berbahasa Malaysia, maka itu sebabnya bible digunakan dalam bahasa Malaysia.

5. Saya menghormati sensitiviti agama dan kaum di Malaysia kerana saya juga mempunyai banyak kawan-kawan dari pelbagai agama dan kaum. Di Sabah dan Sarawak misalnya, agama bukanlah menjadi satu isu yang besar. Bible dalam versi 'Bahasa' sudah lama digunakan dan bukanlah satu isu yang besar di Borneo. Tidak pernah pun terjadi tragedi "13 Mei" di Borneo seperti di Semenanjung Malaysia. Tidak pernah terjadi kes bakar-membakar rumah ibadat di Borneo. Campur tangan Kerajaan di Borneo memburukkan kebebasan agama di Borneo seperti di Semenanjung Malaysia.

6. Suka saya menggunakan istilah bible versi 'bahasa' kerana bible ini dicetak menggunakan bahasa Indonesia dan diimport dari Indonesia. Maka, bible ini bukannya dicetak dalam Bahasa Malaysia. Memang Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan perkaitan bahasa kerana berasal dari rumpun yang sama. Tetapi DBP diwujudkan untuk memperkasakan Bahasa Malaysia kerana tidak mengiktiraf pengunaan Bahasa Indonesia di Malaysia.

7. Bagi saya, penggunaan bible dalam versi 'bahasa' tidaklah menyebabkan ancaman dan ketakutan kepada kawan-kawan beragama Muslim di Malaysia. Ini kerana dalam Islam sendiripun telah banyak prinsip-prinsip dan undang-undang yang menghalang untuk menukar agama daripada Islam kepada agama-agama lain. Manakala wujud banyak institusi Islam seperti JAKIM, JAWI, Mahkamah Syariah dan banyak lagi yang menguatkuasakan undang-undang Islam kepada orang Islam.

8. Maka saya berpendapat, tindakan untuk mengkodkan dan melabelkan bible "Perhatian:hanya untuk orang Kristian sahaja" adalah mengguris hati penganut agama Kristian di Malaysia khasnya di Borneo. Ini mengibaratkan Bible itu seperti mengkodkan dan melabelkan Sardin atau Maggi di pasaraya sahaja. Memangpun seluruh dunia mengetahui bible itu untuk agama Kristian, mengapa perlu dilabelkan "untuk orang kristian" di kitab suci orang Kristian?

9. Maaf saya bertanya, bagaimana sekiranya seorang individu bukan beragama Islam dan juga bukan beragama Kristian memiliki bible?Sudah pasti beliau boleh didakwa atas melanggar arahan KDN seperti yang terkandung dalam label bible oleh KDN. Maka seseorang itu boleh didakawa atas jenayah memiliki Bible.

10. Tidak keterlaluan kalau saya nyatakan tindakan ini juga menghina kepada perlembagaan negara yang membenarkan rakyat Malaysa untuk bebas menganuti agama. Kalau selama ini kita mempertahankan perlembagaan demi kedaulatan raja, agama, bangsa dan negara, mengapa kita meminggirkan prinsip "kebebasan beragama" yang memang terkandung dalam perlembagaan negara?Adakah hanya beberapa prinsip sahaja dalam perlembagaan perlu dipatuhi?Adakah hanya beberapa prinsip sahaja dalam perlembagaan negara yang relevan pada hari ini?

11. Maka, kita sebagai rakyat Malaysia perlu berfikir dengan matang, dan terbuka dalam hal ini. Tulisan ini bukannya berniat mengguris hati sesiapa. Sekadar pendapat daripada individu yang menyokong perlembagaan negara Malaysia.

Siapa bilang KDM majoriti di Sabah


  1. Menurut daripada banci tahun 2010 yang telah dikeluarkan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, populasi penduduk di Negeri Sabah adalah seramai 3,120,040, iaitu negeri ketiga tertinggi kepadatan penduduknya selepas negeri Selangor dan Johor.
  2. Di antara negeri-negeri di dalam Malaysia, Negeri Sabah merupakan negeri yang mempunyai kadar pertumbuhan penduduk yang amat tinggi. Negeri Sabah merekodkan pertumbuhan lebih daripada 200% iaitu 929,299 (tahun 1980), 2,468,246 (tahun 2000) dan 3,120,040 pada tahun 2010. Ini merupakan satu kadar pertumbuhan luar biasa berikutan kesuburan penduduk tempatan dan kemasukan rakyat daripada negara jiran iaitu Filipina dan Indonesian secara sah dan tidak sah/haram.
  3. Bagi komposisi kaum pula, kaum Kadazan-Dusun-Murut mempunyai peratus tertinggi iaitu dalam 21.1%, diikuti oleh Bajau 13.4%, Cina 13.2%, Bumiputera lain 14.6%, Melayu 11.5%, Bukan bumiputera 4.8% dan bukan warganegara Malaysia 25%.
  4. Sekiranya dilihat kepada kuantiti kaum di Sabah yang belum layak mengundi mahupun telah layak mengundi, kaum Kadazan-Dusun-Murut (KDM) mempunyai kuantiti yang tertinggi di Negeri Sabah. Dari segi kuantitinya, ya kita adalah kaum majority. 
  5. Menurut pemerhatian saya, setakat tahun 2010, terdapat beberapa parti politik yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) serta bergiat aktif dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan di Negeri Sabah. 
  6. Antaranya adalah PBS (BN), UMNO (BN), UPKO (BN), LDP (BN), PKR, SAPP(PKR), UBF di mana setiap parti politik atau komponen parti politik ini diketuai oleh pemimpin masyarakat kaum di Sabah. 
  7. Antara pemimpin KDM yang mempunyai pengikut yang ramai adalah seperti Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, Tan Sri Bernard Dompok, Dr Jeffrey Kitingan, dan Datuk  Yong Teck Lee yang juga sebenarnya kaum Cina tetapi mempunyai pengikut daripada golongan KDM yang ramai. 
  8. Pernahkah kita sebagai kaum bumiputera di Negeri Sabah ini terfikir dengan penuh rasa tanggunjawab mengapakah diwujudkan terlalu banyak parti politik di Negeri Sabah, dan apakah kesannya kepada penduduk tempatan Negeri Sabah? 
  9. Secara amnya, kaum KDM dan Cina menyokong empat parti politik yang begitu popular pada masa kini iaitu PBS, UPKO, SAPP dan UBF. Memang secara peratus iaitu 34.3%  (21.1% + 13.2%) kita adalah kaum majority. Tidak keterlaluan kalau saya katakan peratus ini akan menurun menjadi 8.58% kerana KDM dan Cina telah dipisahkan kepada empat parti politik. Sebelum bertanding, kita telah pun kalah majoriti kepada kaum Bajau yang peratusnya 13.4% dan Melayu 11.5% yang biasanya menyokong UMNO. 
  10. Itu pun perkiraan peratus tersebut tidaklah tepat disebabkan oleh beberapa faktor seperti Kaum Cina menyokong DAP dan LDP(BN), kaum KDM yang masuk UMNO, peratus pengundi yang turun mengundi rendah, dan masalah pengundi hantu di Negeri Sabah. Maka peratus yang tadinya 8.58% akan berkurangan mungkin kepada 7% - 6%. Kita bukan lagi majoriti. 
  11. Jadi persoalannya bagaimana kaum KDM boleh mempertahankan kerusi di kawasan masing-masing jika terlalu banyak parti politik tempatan yang memecahbelahkan kaum KDM sendiri? Seingkali KDM mempersalahkan pengundi hantu, PTI, lompat parti dan sebagainya tetapi tidak memikirkan bahawa masalah tersebut datangnya daripada pemimpin parti yang berlainan ideologi.
  12. Diharap kaum KDM dapat melupakan ideologi masing-masing dan menyokong hanya satu parti politik yang boleh mempertahankan kepentingan KDM demi generasi akan datang.
  13. Janganlah hanya kerana sifat tamak dan mahu mendapatkan wang dalam masa singkat, kita menghancurkan masa depan anak-anak KDM kita. 



Friday 4 March 2011

Pendidikan Pelaburan Masa Hadapan

  1. Pendidikan merupakan satu perkataan yang membawa maksud sesuatu usaha untuk mengembangkan potensi diri bagi meningkatkan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial manusia. 
  2. Pendidikan sebenarnya bermula sejak manusia dilahirkan dan berterusan sepanjang hayat.
  3. Sehingga kini di Malaysia, khususnya di Sabah telah banyak institusi pendidikan telah bergiat dalam memberi pendidikan formal kepada rakyat.
  4. Sejak tahun 1990 hinggalah tahun 2010, iaitu 20 tahun kebelakangan ini, telah ramai anak-anak tempatan di Negeri Sabah yang telah mendapatkan pendidikan baik di peringkat rendah, menengah mahupun peringkat tinggi.
  5. Ini merupakan sesuatu peningkatan yang memberansangkan walaupun saya percaya ia masih belum mencapai tahap yang membanggakan dari segi kuantitinya berbanding di Semenanjung Malaysia.
  6. Terdapat dua faktor utama yang dilihat menjadi penghalang kepada usaha pendidikan anak-anak tempatan di Negeri Sabah. Pertama adalah dari segi keterbukaan kepada pendidikan di kalangan masyarakat, dan kedua adalah masalah kemiskinan.
  7. Penduduk yang menetap di kawasan pedalaman amnya tidak melihat secara jelas kepentingan pendidikan pada masa hadapan. Kurangnya pendedahan kepada dunia luar dan isu-isu semasa menyebabkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan itu rendah.
  8. Harapan ibu bapa kepada anak-anak adalah rendah dan melihat bahawa anak-anak hanyalah sebagai penerus kepada keberlangsungan ekonomi keluarga yang diusahakan sekarang iaitu pertanian skala kecil atau sara diri amnya.
  9. Keciciran yang berlaku di kalangan anak-anak yang bersekolah juga dilihat sebagai penghalang utama kepada mereka disebabkan oleh kemiskinan. 
  10. Ini disebakan keperluan asas dan keperluan bersekolah yang tidak mencukupi akibat daripada kemiskinan. Anak-anak hanya bersekolah di tahap rendah dan menengah, kemudiannya mengambil keputusan untuk bekerja untuk menyara diri dan keluarga.
  11. Masalah pendidikan ini bukan sahaja berlaku di kawasan pedalaman, tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat tempatan yang menetap di kawasan pekan mahupun bandar.
  12. Setahun kebelakangan ini, lonjakan ekonomi berlaku di kalangan masyarakat petani yang mengusahakan tanaman komoditi getah dan sebilangan kecil kelapa sawit. Ada yang mengatakan bahawa tidak perlu bersekolah tinggi-tinggi, dengan mengusahakan tanaman ini sahaja cukup untuk menyara keluarga.
  13. Pendapat itu sama sekali adalah tidak betul. Persoalannya adalah bagaimana sekiranya kemerosotan ekonomi berlaku sekali lagi? Sudah pasti harga tanaman komoditi di pasaran antarabangsa akan jatuh menjunam. 
  14. Persoalan kedua adalah, adakah kita mampu menguruskan sumber-sumber yang kita ada secara berkesan sekiranya kita tidak mempunyai pengetahuan dan pendidikan. Buktinya telah banyak kes-kes penipuan dan manipulasi terjadi kepada masyarakat miskin mahupun pertengahan di Sabah akibat daripada rendahnya pendidikan dan pengetahuan.
  15. Yang ketiga, tanpa pendidikan masyarakat tempatan Sabah akan terus terpinggir dan hanya dianggap sebagai 'second class' atau 'third class' seperti yang berlaku sekarang. Lihat sahaja penyertaan kaum bumiputera Sabah dalam bidang professional dalam Kerajaan dan Swasta. Hanya sebilangan kecil sahaja yang dilihat mampu bersaing dengan kaum-kaum lain.
  16. Sebab itu, reformasi pemikiran perlu ada di dalam setiap anak-anak bumiputera Negeri Sabah. Hanya pendidikan sahaja yang dapat mengubah taraf hidup dan menjamin kesejahteraan kita sebagai penduduk tempatan Negeri Sabah.